(Sumber daripada Hip, Berita Harian 9 Ogos 2005)Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
SOKONGAN: Adegan rakan-rakan mengunjungi Jiji (Sharifah Amani)
yang terlantar di hospital.
yang terlantar di hospital.
FILEM ini cukup istimewa kerana ia bukan filem cinta semata-mata, sebaliknya dalam keseronokan yang dipaparkan, banyak isu disentuh termasuk keyakinan diri, salah tanggapan, sumbang mahram dan erti persahabatan.
Pada awalnya, elemen filem popular seperti Legally Blonde cukup terasa menerusi watak Putri yang manja dan sukakan fesyen. Kemudian dia beralih (tanpa melupakan hobi asal) kepada dunia bola sepak pula seperti yang ditonton menerusi Bend It Like Beckham. Namun kedua-dua unsur itu dilupakan selepas beberapa ketika tayangan bermula.
AKSI: Putri (lakonan Fazura)bertarung di gelanggang futsal.Apabila fesyen dan bola digabungkan, kelucuan dan keseronokan menjadi jawapan. Separuh pertama filem ini mungkin lebih kepada komedi, tetapi penonton kemudian disajikan dengan sedikit elemen drama apabila watak-watak yang menguatkan cerita mula menunjukkan warna sebenarnya.
Putri lakonan Fazura menjadi tunjang kepada penyelesaian cabang permasalahan yang mengait rakan sepasukan. Sedang dia sendiri berhadapan dengan dilema cinta dan persahabatan, rakannya yang lain terjebak dalam masalah sendiri seperti diganggu secara seksual oleh bapa sendiri, mempunyai teman lelaki yang suka membuli dan ibu yang tidak memahami minat anak gadis.
Gabungan Bernard (pengarah), Rafidah (penulis skrip) dan Lina Tan (penerbit) memang menjadi menerusi penghasilan filem pertama Redfilms. Diharapkan mereka terus dapat menerbitkan filem bermutu dan menyeronokkan seperti Gol & Gincu ini.
Ia bukan sekadar filem cinta, dengan dialog ‘aku cintakan kau’ seperti yang dapat disaksikan berulang kali di pawagam sebelum ini. Plotnya berkembang daripada sekadar cinta kepada mengenali dunia luar daripada kehidupan sendiri. Putri mempelajari hidup menerusi hakikat yang melingkari rakan-rakannya.
Gol & Gincu mahu penonton menelan sama mesejnya - setiap masalah mungkin lebih ringan dihadapi apabila ia mampu dikongsi. Itulah yang dilakukan Putri apabila kehilangan kekasih. Itulah juga yang dilakukan Sarah (Kartini) apabila asyik dibuli teman lelaki. Atas nasihat rakan-rakan, Sarah akhirnya mempunyai keyakinan diri melepaskan lelaki yang tidak pernah menyokong segala usahanya.
Sokongan rakan amat penting apabila kita berada dalam tekanan. Itulah yang diperoleh Jiji (Sharifah Amani) yang terlantar di hospital akibat sikap tidak bertanggungjawab bapa sendiri.
Fazura sebagai Putri memang pilihan yang tepat untuk menerajui filem ini. Dia seorang pelakon yang natural dan watak gadis manja tetapi punya kekuatan diri dihidupkan olehnya dengan baik. Fazura mampu menghadirkan gelak ketawa dan dia juga boleh membuatkan penonton hiba.
Pelakon dengan karektor lain juga tidak terpinggir. Setiap watak punya peranannya sendiri dan saing menguatkan. Sazzy dan Pierre cukup meyakinkan, manakala Zarina dan Anding turut bersinar kali ini biarpun kecil saja peranan mereka.
Dengan lakonan yang terjaga di bawah bimbingan Bernard, Gol & Gincu menjanjikan hiburan berkualiti untuk seisi keluarga. Filem ini mengajak penonton berseronok sambil mempelajari pesanan yang diselit menerusinya.
Ditambah dengan lagu menarik nyanyian penyanyi terkenal seperti Ella, Radhi OAG, Nur Fatima, Zarina dan ramai lagi, yang menghiasi latarnya, maka anda kini punya banyak alasan untuk ke panggung bersama kekasih mahupun famili, menonton filem cukup menghiburkan ini.
Fakta:
Filem: Gol & Gincu
Genre: Romantik Komedi
Pengarah: Bernard Chauly
Pelakon: Nur Fazura, Sazzy Falak, Mohd Pierre Andre, Ashraf Sinclair, Rafidah Abdullah, Sharifah Amani, Kartini Kamalul Ariffin, Anding, Zarina Zainoordin, Celina Khor, Ida Nerina, Zahim Albakri, Khatijah Tan
Tarikh Tayangan: 11 Ogos 2005
Sinopsis:
GOL & GINCU mengisahkan perjalanan seorang gadis manja yang mula bermain futsal kerana mengejar cinta. Melalui aktiviti itu dia belajar mengenai kehidupan dan percintaan.
Putri, seorang pelajar kolej yang lebih berminat dengan fesyen, bertekad menawan kembali bekas teman lelakinya yang memang gilakan futsal. Lantas Putri cuba mengubah dirinya menjadi wira padang.
Namun, Putri mendapati usaha itu bukan semudah yang disangka, terutama dalam menghadapi prasangka orang terhadap wanita dan sukan. Di dalam cabaran dan kekusutan ini, Putri menemui kekuatan seorang juara dalam dirinya.







8 comments:
citer ni pun mcm best gak jer.. tp still tak bleh nak gi tgk gak...:(
ahaks..kalau aku nak tgk pun sbb nak tgk kot2 ada terselit muka aku..kekeke..atau nik atau N atau bel..hehehe..ni shooting masa kitorg main futsal aritu kot..KOT laa..muehehehe..
**adeh, team Pancit United...
-mona-
iyer ea... ehehhe... hmm, bleh gak korg menyelit ea..
iiiiiiiiiiiiii suka tgk cite nie.. esok weols nak gie tgk kat ipoh parade uolsssss
uols ni mmg ler very the tau... weols gak yg ntah bile dpt pegi tgk... sen tak mengizinkan lah...
uollss sen tk der tk per.. kena ada org payung baru leh hidup uolsss
ada teknik2 tertentu utk itu semua... hehehehe pakai "Pelaris" uols.. hahahahaha
pelaris laaaa... xdemakne nyer...
akhirnyer weols dah tgk citer nih mase cuti sem ari tuh... bleh tahan... not bad... a good start for a new comer such rafidah(scripwriter), bernand(director) n others..
Post a Comment